BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 40 (Ungkapan Tabu dalam Filem-filem Melayu)

Assalamualaikum…

Apakah maksud tabu? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tabu boleh dimasudkan sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali, yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada percakapan. Dalam ertikata yang lain, tabu merupakan percakapan yang kurang sopan, kasar, kesat, atau berbaur lucah yang ditegah penggunaannya dalam komunikasi. Walau bagaimanapun, saya melihat industri perfileman kini banyak menggunakan ungkapan-unkapan yang bersifat tabu dalam pembikinan filem mereka. Contohnya, ketika saya menonton filem Aku Masih Dara, arahan Ahmad Idham, saya mendapati filem tersebut banyak menggunakan ungkapan yang berbaur tabu atau lucah. Filem yang membongkarkan keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja ini jelas menggunakan ungkapan tabu dalam dialog filem tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui watak Zekry, iaitu lakonan Farid Kamil yang menggungkapkan kata-kata tabu seperti “aku sangap lubang” dalam dialog filem tersebut. Hal ini menunjukkan betapa rendahnya penggunaan bahasa Melayu yang baik dan santun dalam dunia perfileman tanah air kita.

Filem Aku Masih Dara

Hal ini menunjukkan bahasa industri perfileman kita menggunakan media sebagai saluran komersial yang mengeksploitasikan penggunaan pelbagai bentuk dan ragam bahasa yang tidak baik sehingga menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Kemunculan pelbagai bentuk media dalam suasana yang penuh persaingan telah menjadikan ungkapan tabu sebagai objek seni dan komersial. Kedua-dua tujuan tersebut digabungjalinkan dengan menarik bagi tujuan melariskan jualan agar mendapatkan keuntungan yang luar biasa. 

          Walau bagaimanapun, kesan yang timbul akibat penggunaan ungkapan tabu ini telah mempengaruhi masyarakat, terutamanya golongan untuk menggunakan ungkapan-ungkapan seumpama itu dalam komunikasi seharian mereka. Maka, dengan itu muncullah generasi yang tidak beradab sehingga sanggup menggunakan ungkapan tabu itu ketika berkomunikasi dengan orang yang lebih tua. Oleh itu, diharap penggunaan ungkapan tabu dalam dunia perfileman dapat dikurangkan dan digantikan dengan bahasa halus atau eufemisme agar melahirkan generasi yang mampu berbahasa dengan halus dan sopan.

Ceritera 39 (Bahasa Tersirat)

Bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga lebih bersopan dan tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak disampaikan sehingga mengakitkan hati penutur kedua. Selain itu, bahasa tersirat juga mengkehendaki penutur kedua memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penutur pertama. Seandainya penutur kedua gagal memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat, maka hal ini boleh menyebabkan salah faham dalamm konteks komunikasi tersebut.
            Contohnya, jika seorang ayah berkata kepada rombongan peminangan, “anak saya baru sahaja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi”, bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Sebenarnya, secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau”.
            Contoh tersebut merupakan bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan hati pihak kedua. Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Hal ini penting supaya bahasa tersirat yang cuba disampaikan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah anggap.      

Ceritera 38 (Uniknya bahasa Kita)

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang isu keunikan bahasa Melayu…
Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Bahasa ini dikatakan lebih unik daripada bahasa Inggeris yang begitu diagung-agungkan oleh gegelintir masyarakat Malaysia. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa bahasa ibunda kita yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita untuk disanjung dan dijunjung. Mengapakah bahasa Melayu dikatakan unik?

            Contoh yang paling jelas untuk menggambarkan keunikan bahasa Melayu adalah dengan mengambil perkataan yang memperkatakan makanan utama kita, iaitu beras. Di samping beras, terdapat juga perkataan lain yang hampir sinonim dengan beras seperti nasi, padi, pulut dan sebagainya untuk memperkatakan keadaan dan jenis yang berlainan. Sebaliknya, jika dilihat dalam bahasa Inggeris, perkataan nasi, beras, dan seumpanya adalah merujuk kepada satu perkataan sahaja, iaitu rice. Di sini membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah unik jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain yang ada di dunia ini. Oleh itu, berbanggalah dengan bahasa kita sendiri kerana “bahasa menunjukkan bangsa”.


Ceritera 37 (Variasi Makna dalam Dialek Terengganu)


Terdapat pelbagai perkataan dalam dialek Terengganu yang mempunyai pelbagai makna yang mendasari sesuatu kata. Hal ini dapat dilihat dalam dialek-dialek seperti yang disenaraikan dibawah:

Perkataan
Maksud dalam Dialek Terengganu
Maksud Kamus
Gong
Sombong
-Sejenis alat permainan muzik tradisional
Gaduh
Terburu-buru
-gempar, huru-hara, riuh-rendah
-pertengkaran, perkelahian
-campur aduk, kusut, tidak keruan, sangat kacau
Corong
Merenung mata
-saluran yang berbentuk kelongsong dan bermuncung di hujungnya utk menuang air (minyak dll) supaya jangan tumpah
Imbuh
Berbaloi
-bicara (suara) alat yang berbentuk kelong­song utk menguatkan suara
-asap salur tempat asap keluar, cerobong, serombong
Malang
Malam
-letaknya melintang (mengalang)
-nasib yang tidak baik (tidak beruntung), celaka, sial

Berdasarkan contoh-contoh di atas jelas bahawa dialek Terengganu mempunyai variasi makna yang berbeza dari maksud kamus yang sebenarnya. Hal ini menggambarkan betapa uniknya dialek Terengganu tersebut. Sedar atau tidak, setiap dialek Melayu yang ada seluruh pelusuk nusantara sememangnya telah memperkayakan bahasa Melayu termasuklah dialek Terengganu itu sendiri.
Walau bagaimapun, penggunaan dialek-dialek ini dalam situasi sosial ketika berhubung dengan orang lain kemungkinan akan menimbulkan salah faham terhadap maksud dialek tersebut. Contohnya, perkataan “malang” yang dituturkan oleh masyarakat Terengganu akan menimbulkan kekeliruan makna terhadap perkataan tersebut. Seandainya perkataan itu digunakan ketika bertutur dengan orang Kedah, misalnya akan menimbulkan salah faham terhadap makna tersebut kerana di Kedah perkataan malang itu bererti nasib yang tidak baik. Hal ini amat berbeza dengan makna yang diketengahkan oleh dialek Terengganu, iaitu bermaksud malam. Oleh itu, penggunaan dialek boleh digunakan dalam komunikasi tetapi bergantung kepada kelompok sosial yang mendasarinya.

Ceritera 36 (Penggunaan Bahasa Baku dalam Kalangan Mahasiswa)

Assalamualaikum…
Adakah anda seorang mahasiswa/mahasiswi?
Adakah anda menggunakan bahasa baku?
Bahasa baku ialah bahasa yang teratur dan mantap dari segi pelbagai aspek (seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan lain-lain) dan diterima oleh masyarakat sebagai norma pergaulan yang betul atau sahih. Sejauh manakah penggunaan bahasa baku dalam kalangan mahasiswa/mahasiswi?
            Melalui permerhatian saya, penggunaan bahasa baku dalam kalangan mahasiswa atau mahasiswi masih lagi berada di takuk yang rendah. Hal ini kerana mahasiswa atau mahasiswi lebih gemar menggunakan bahasa yang bersifat ringan seperti bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa rojak dan seumpamanya dalam komunikasi seharian. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan bahasa dalam kalangan mahasiswa atau mahasiswi ketika membentangkan tugasan dalam kuliah. Contohnya, ketika pembentangan tugasan kursus sosiolinguistik tadi, hanya seorang sahaja daripada sepuluh orang mahasiswa/mahasiswi yang didapati menggunakan bahasa baku. Sembilan daripada sepuluh orang pelajar yang selebihnya lebih gemar menggunakan bahasa yang bersifat santai seperti bahasa basahan.
           Kesannya, hal ini akan menimbulkan kemerosotan dalam aspek mutu bahasa, berkaitan dengan ketidakpekaan sebilangan mahasiswa/mahasiswi terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di internet dan sebagainya) dengan bahasa baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.

Ceritera 35 (Bahasa Eufemisme/Halus)

            “Tahniah! Awak akan jadi ibu.”
            “Maksud Doktor?”
            “Awak mengandung dua bulan.”
            “Apa?”
“Syukur alhamdulillah. Segala doa kita termakbul jugak akhirnya nak. Ira… tahniah. Bonda ucapkan nak”.
Dialog di atas saya petik daripada sebuah novel, karya Shahriah Abdullah yang berjudul Kau Tercipta Untukku. Di sini bukan saya hendak mengulas tentang jalan cerita novel ini, tetapi mengulas tentang penggunaan bahasa dalam novel ini. Saya ingin menyentuh tentang satu perkataan yang digunakan, iaitu “mengandung”. Kita sedia maklum bahawa selalunya penulisan novel menggunakan bahasa yang puitis dan indah. Saya berpendapat bahawa lebih indah bahasa itu seandainya penulis menggunakan bahasa-bahasa yang halus dan lembut dalam penulisannya.
Bahasa halus atau eufemisme merupakan bahasa atau perkataan yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain, misalnya perkataan meninggal dunia menggantikan perkataan mati. Bagi perkataan mengandung yang digunakan dalam novel tersebut sebenarnya agak kasar bunyinya. Hal ini kerana terdapat beberapa perkataan yang lebih lembut bagi menggantikan perkataan tersebut seperti perkataan hamil atau berbadan dua. Penggunaan perkataan hamil atau berbadan dua ini nampak lebih manis dan lebih halus untuk dituturkan berbanding perkataan mengandung.
Bahasa yang digunakan dalam novel mampu mempengaruhi masyarakat mengaplikasikan penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian. Senadainya sesebuah novel menggunakan bahasa yang lembut dan halus, maka sudah pastinya pembaca akan terpengaruh dengan penggunaan bahasa tersebut. Oleh itu, bidang penulisan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan masyarakat yang mampu berbahasa dengan baik dan halus dan seterusnya akan melahirkan generasi yang berbudi bahasa.
Novel Kau Tercipta Untukku, Karya Shahriah Abdullah

Ceritera 34 (Pencemaran Bahasa dalam Filem-filem Melayu)

Baru-baru ini saya ada menonton sebuah filem Melayu arahan pengarah muda, iaitu Ahmad Idham. Sebenarnya filem ini sudah lama diterbitkan tetapi saya yang tidak berpeluang untuk menontonnya ketika filem ini hangat diperkatakan. Naratif penceritaannya sangat baik, iaitu mengisahkan percintaan antara dua insan yang pada mulanya saling bergaduh. Walau bagaimanapun, saya amat kecewa dengan penggunaan bahasa yang amat menjengkelkan pendengaran saya dalam filem ini. Boleh dikatakan hampir 50 peratus skrip drama itu  mencampur-adukkan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Selain merosakkan bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang dirojakkan itu juga lintang-pukang dengan tatabahasa yang amat lemah. Hal ini membuktikan bahawa pencemaran bahasa Melayu dalam filem mahupun drama televisyen semakin serius.
Bahasa rojak sangat berleluasa digunakan dalam industri ini. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam filem dan drama televisyen Melayu, malahan dalam filem-filem dan drama-drama televisyen Indonesia juga pencemaraan bahasa sedang berlaku dengan amat serius sekali. Hal ini amat berbeza dengan filem-filem Melayu pada tahun-tahun 40-an dan 50-an dahulu menggunakan pertuturan bahasa baku. Situasi ini seumpama suatu kemestian yang digunakan dalam dialog filem pada ketika itu. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa dalam filem terus menerima perubahan apabila filem dianggap sebagai alat perakam realiti kehidupan masyarakatnya. Seandainya sesebuah masyarakat menggunakan bahasa rojak, maka bahasa itulah yang digunakan di dalam filem.
Tuntasnya, pencemaran bahasa dalam filem dan drama-drama tempatan seharusnya diberi perhatian serius agar wabak ini tidak terus merebak dan menular penggunaannya pada masa akan datang. Pencemaran bahasa yang berlaku secara berterusan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa Melayu menjalani proses evolusi yang menghakis ketulenan bahasa tersebut.

Filem Cuti-cuti Cinta

Ceritera 33 (Bahasa dan Jurujual)

Salam perpaduan…
Baru-baru ini saya bersama-sama rakan pergi ke sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Kebanyakan premis dan kedai yang terdapat di pusat beli-belah tersebut merupakan kedai yang eksklusif dan para pekerjanya kebanyakannya berbangsa Cina. Dari segi penggunaan bahasa pula, mereka lebih banyak bertutur dalam bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Cina dan ada juga yang bertutur di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Terdapat juga jurujual berbangsa Cina yang sukar menterjemahkan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Hal ini telah berlaku di sebuah kedai pakaian ekslusif. Pada mulanya, jurujual tersebut bercakap menggunakan bahasa Inggeris, tetapi apabila kami bercakap dalam bahasa Melayu, jurujual tersebut cuba bercakap dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, jurujual tersebut dilihat agak sukar untuk menterjemahkan apa yang dituturkannya dalam bahasa Inggeris sebelum ini ke dalam bahasa Melayu. Intonasi yang digunakan agak lambat berbanding semasa bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini mungkin terjadi kerana kedai yang kami masuki itu menjual pakaiaan-pakaian ekslusif yang sesuai ke pejabat. Oleh itu, mungkin jurujual itu mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap kami. 

Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan jurujual seharusnya diberi perhatian yang serius. Penggunaan bahasa yang baik dan betul oleh jurujual amat penting dalam proses komunikasi dua hala itu. Kurangnya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan jurujual ini perlu diperbaiki dan ditangani bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia kerana banyak pelancong asing yang gemar beli-belah di negara kita. Kerajaan juga boleh mengambil tindakan yang sewajarnya seperti mengenakan denda dan kempen bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa dalam kalangan jurujual ini.

Ceritera 32 (Bahasa Iklan)


Sungguhpun kerajaan melancarkan kempen bahasa serta menganjurkan pelbagai program untuk menyahut orang ramai agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul yang bukan menelan belanja yang sedikit, namun masih terdapat badan-badan yang sentiasa berhubung dengan orang ramai di seluruh negara menggunakan bahasa dengan sesuka hati. Contohnya, badan swasta dalam pengiklanan. Mereka mengiklankan iklan-iklan mereka di tepi-tepi jalan dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi salah dari segi konteks dan tatabahasa. Walaupun kos iklan menelan belanja yang banyak, setiap patah perkataan menjadi ukuran kepada pembayaran iklan yang diiklan di papan-papan di segenap tempat, tetapi pihak yang berkenaan serta kerajaan tempatan perlu peka dengan penggunaan bahasa yang salah. Contohnya penggunaan ‘ia’ kepada bukan manusia, ‘di kalangan’, ‘antara dan di antara’ serta banyak lagi. Penggunaan bahasa ringkas serta salah dari segi struktur bahasa boleh mempengaruhi penggunaan bahasa kepada pelajar-pelajar terutamanya golongan remaja yang masih cetek ilmu dalam ilmu berbahasa.

Pemaparan isu begini bukannya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi diharapkan menjadi suatu teladan kepada pihak berkuasa tempatan yang lain agar lebih prihatin tentang penggunaan bahasa kebangsaan di tempat-tempat awam. Bak kata pepatah, “yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan”.

Ceritera 31 (Bahasa Pengacara Televisyen)


Minggu lepas saya ada mengikuti rancangan hiburan Melodi di TV3. Farah Fauzana dan Wahid merupakan pengacara dalam rancangan tersebut. Rancangan tersebut begitu menghiburkan dengan telatah mereka berdua yang sangat rancak dan lincah beraksi di depan kamera. Gaya mereka bersahaja mampu menarik ramai peminat setia rancangan tersebut. Sungguhpun begitu, ada perkara yang tidak sehibur rancangan tersebut. Penggunaan bahasa slanga, bahasa rojak dan sebagainya mampu memberi kesan negatif terutamanya kepada remaja yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.
Perkataan well, u see, i tak sure u mampu Wahid’ antara kesalahan penggunaan bahasa yang sempat saya dengar. Sebagai pengacara televisyen yang sentiasa berhubung dengan seluruh warganegara di negara ini, sepatutnya mereka yang mengendalikan rancangan hiburan mahupun rancangan-rancangan lain patut disedarkan agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul agar tidak berlaku ‘kekacauan’ dalam berbahasa terutamanya kepada remaja yang mudah terpengaruh dengan apa sahaja di persekitaran mereka termasuklah cara berbahasa.
Tambahan pula, penggunaan bahasa seumpama itu akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak mahupun bahasa slanga telah memberi gambaran wujudnya keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat terutamanya dalam saluran media seperti yang diperkatakan di atas. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak mahupun bahasa slanga merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.

Ceritera 30 (Uniknya Bahasa Melayu)

Assalamualaikum…
Hari ini saya akan berkongsi isu tentang keunikan bahasa Melayu. Kadang-kadang saya tertanya dimanakah terletaknya keunikan bahasa Melayu…? Secara amnya, keunikan bahasa Melayu sebenarnya tergambar dalam pemilihan kata yang diungkapkan oleh seseorang. Keindahan dan keistimewaan bahasa Melayu mendapat pengaruh daripada adat resam orang Melayu secara turun-temurun yang mengajar cara bertutur atau berkomunikasi dengan baik untuk menyampaikan buah fikiran atau sesuatu mesej kepada pendengar. Kata-kata manis dan ikhlas dilahirkan melalui ungkapan yang memberi petun­juk bahawa percakapan yang elok dan baik hendaklah dilakukan dengan menggunakan akal fikiran mengikut adat dan budaya tempatan.
"Apa tanda Melayu yang bijak,
berfikir dahulu sebelum bertindak,
Apa tanda Melayu beradab,
berfikir dahulu sebelum bercakap,
Apa tanda Melayu bertuah,
berfikir dahulu sebelum bermadah,
Apa tanda Melayu berakal,
berfikir dahulu sebelum berbual".

            Segala peringatan dan tunjuk ajar yang terkandung dalam ung­kapan di atas menunjukkan beta­pa orang Melayu arif dan teliti dalam menyampaikan pendapat dan fikirannya sebagai cerminan keperibadian Melayu yang islam lagi terpuji yang menjadi anutan.
 Amalan berbahasa mencerminkan budi pekerti mulia dan penuh kesantunan orang Melayu sehing­ga timbulnya "pantang larang" dalam berbahasa, iaitu melarang menggunakan bahasa yang tidak sopan yang mungkin menying­gung perasaan, membuka aib, malah menjatuhkan maruah seseorang. Orang Melayu yang meng­gunakan bahasa yang kurang sopan turut mendapat sindiran seperti dalam ungkapan:
"Siapa bercakap kasarlanggar,
 malangnya banyak celakanya besar"
"Siapa berkata kasar langgar,
budinya rendah imannya longgar".
Oleh itu, keunikan bahasa Melayu dalam mengungkapkan teguran membuktikan bahawa orang Melayu begitu arif menggunakan bahasa.

Ceritera 29 (Bodohkah Kita apabila Berbahasa Melayu?)



            Penutur A: Eh, gunalah pilihan bahasa, bahasa Inggeris.
            Penutur B: Kenapa?
            Penutur A: Buat malu kat orang je guna bahasa Melayu. Macam orang bodoh je pun.
            Itulah situasi yang saya dengar ketika hendak meminjam buku di perpustakaan dengan menggunakan mesin pinjaman buku. Dua orang pelajar di hapadan saya telah mengujarkan dialog seperti di atas ketika rakannya memilih bahasa Melayu sebagai pilihan bahasa pada mesin pinjaman buku tersebut. Bodohkah kita apabila berbahasa Melayu?
            Sedar atau tidak, bahasa Melayu semakin terpinggir dan yang lebih sedih lagi terjadi dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Ramai antara kita yang menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai kelas jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, sehinggakan ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa bercakap dalam bahasa Melayu boleh menjatuhkan kredibilitinya dan dianggap bodoh! Orang yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris sebenarnya yang kurang bijak. Hal ini kerana orang yang kurang bijak sahaja yang membiarkan  jati diri mereka dijajah oleh bahasa asing. Sikap sesetengah masyarakat yang memandang rendah keupayaan bahasa Melayu itu amat memalukan dan seolah-olah mereka tidak tahu bahawa bahasa dan tamadun Melayu telah wujud dan berkembang pesat sejak sekian lama. Mereka perlu sedar bahawa kemajuan dan pembangunan bangsa mestilah dengan menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu bukalah mata hati anda seluas-luasnya untuk menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata agar tidak menyesal di kemudian hari.