BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 4, 2011

NOVEL AZFA HANANI (Bahagian 1)

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 40 (Ungkapan Tabu dalam Filem-filem Melayu)

Assalamualaikum…

Apakah maksud tabu? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tabu boleh dimasudkan sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali, yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada percakapan. Dalam ertikata yang lain, tabu merupakan percakapan yang kurang sopan, kasar, kesat, atau berbaur lucah yang ditegah penggunaannya dalam komunikasi. Walau bagaimanapun, saya melihat industri perfileman kini banyak menggunakan ungkapan-unkapan yang bersifat tabu dalam pembikinan filem mereka. Contohnya, ketika saya menonton filem Aku Masih Dara, arahan Ahmad Idham, saya mendapati filem tersebut banyak menggunakan ungkapan yang berbaur tabu atau lucah. Filem yang membongkarkan keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja ini jelas menggunakan ungkapan tabu dalam dialog filem tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui watak Zekry, iaitu lakonan Farid Kamil yang menggungkapkan kata-kata tabu seperti “aku sangap lubang” dalam dialog filem tersebut. Hal ini menunjukkan betapa rendahnya penggunaan bahasa Melayu yang baik dan santun dalam dunia perfileman tanah air kita.

Filem Aku Masih Dara

Hal ini menunjukkan bahasa industri perfileman kita menggunakan media sebagai saluran komersial yang mengeksploitasikan penggunaan pelbagai bentuk dan ragam bahasa yang tidak baik sehingga menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Kemunculan pelbagai bentuk media dalam suasana yang penuh persaingan telah menjadikan ungkapan tabu sebagai objek seni dan komersial. Kedua-dua tujuan tersebut digabungjalinkan dengan menarik bagi tujuan melariskan jualan agar mendapatkan keuntungan yang luar biasa. 

          Walau bagaimanapun, kesan yang timbul akibat penggunaan ungkapan tabu ini telah mempengaruhi masyarakat, terutamanya golongan untuk menggunakan ungkapan-ungkapan seumpama itu dalam komunikasi seharian mereka. Maka, dengan itu muncullah generasi yang tidak beradab sehingga sanggup menggunakan ungkapan tabu itu ketika berkomunikasi dengan orang yang lebih tua. Oleh itu, diharap penggunaan ungkapan tabu dalam dunia perfileman dapat dikurangkan dan digantikan dengan bahasa halus atau eufemisme agar melahirkan generasi yang mampu berbahasa dengan halus dan sopan.

Ceritera 39 (Bahasa Tersirat)

Bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga lebih bersopan dan tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak disampaikan sehingga mengakitkan hati penutur kedua. Selain itu, bahasa tersirat juga mengkehendaki penutur kedua memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penutur pertama. Seandainya penutur kedua gagal memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat, maka hal ini boleh menyebabkan salah faham dalamm konteks komunikasi tersebut.
            Contohnya, jika seorang ayah berkata kepada rombongan peminangan, “anak saya baru sahaja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi”, bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Sebenarnya, secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau”.
            Contoh tersebut merupakan bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan hati pihak kedua. Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Hal ini penting supaya bahasa tersirat yang cuba disampaikan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah anggap.      

Ceritera 38 (Uniknya bahasa Kita)

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang isu keunikan bahasa Melayu…
Bahasa Melayu merupakan bahasa yang unik. Bahasa ini dikatakan lebih unik daripada bahasa Inggeris yang begitu diagung-agungkan oleh gegelintir masyarakat Malaysia. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa bahasa ibunda kita yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita untuk disanjung dan dijunjung. Mengapakah bahasa Melayu dikatakan unik?

            Contoh yang paling jelas untuk menggambarkan keunikan bahasa Melayu adalah dengan mengambil perkataan yang memperkatakan makanan utama kita, iaitu beras. Di samping beras, terdapat juga perkataan lain yang hampir sinonim dengan beras seperti nasi, padi, pulut dan sebagainya untuk memperkatakan keadaan dan jenis yang berlainan. Sebaliknya, jika dilihat dalam bahasa Inggeris, perkataan nasi, beras, dan seumpanya adalah merujuk kepada satu perkataan sahaja, iaitu rice. Di sini membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah unik jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain yang ada di dunia ini. Oleh itu, berbanggalah dengan bahasa kita sendiri kerana “bahasa menunjukkan bangsa”.


Ceritera 37 (Variasi Makna dalam Dialek Terengganu)


Terdapat pelbagai perkataan dalam dialek Terengganu yang mempunyai pelbagai makna yang mendasari sesuatu kata. Hal ini dapat dilihat dalam dialek-dialek seperti yang disenaraikan dibawah:

Perkataan
Maksud dalam Dialek Terengganu
Maksud Kamus
Gong
Sombong
-Sejenis alat permainan muzik tradisional
Gaduh
Terburu-buru
-gempar, huru-hara, riuh-rendah
-pertengkaran, perkelahian
-campur aduk, kusut, tidak keruan, sangat kacau
Corong
Merenung mata
-saluran yang berbentuk kelongsong dan bermuncung di hujungnya utk menuang air (minyak dll) supaya jangan tumpah
Imbuh
Berbaloi
-bicara (suara) alat yang berbentuk kelong­song utk menguatkan suara
-asap salur tempat asap keluar, cerobong, serombong
Malang
Malam
-letaknya melintang (mengalang)
-nasib yang tidak baik (tidak beruntung), celaka, sial

Berdasarkan contoh-contoh di atas jelas bahawa dialek Terengganu mempunyai variasi makna yang berbeza dari maksud kamus yang sebenarnya. Hal ini menggambarkan betapa uniknya dialek Terengganu tersebut. Sedar atau tidak, setiap dialek Melayu yang ada seluruh pelusuk nusantara sememangnya telah memperkayakan bahasa Melayu termasuklah dialek Terengganu itu sendiri.
Walau bagaimapun, penggunaan dialek-dialek ini dalam situasi sosial ketika berhubung dengan orang lain kemungkinan akan menimbulkan salah faham terhadap maksud dialek tersebut. Contohnya, perkataan “malang” yang dituturkan oleh masyarakat Terengganu akan menimbulkan kekeliruan makna terhadap perkataan tersebut. Seandainya perkataan itu digunakan ketika bertutur dengan orang Kedah, misalnya akan menimbulkan salah faham terhadap makna tersebut kerana di Kedah perkataan malang itu bererti nasib yang tidak baik. Hal ini amat berbeza dengan makna yang diketengahkan oleh dialek Terengganu, iaitu bermaksud malam. Oleh itu, penggunaan dialek boleh digunakan dalam komunikasi tetapi bergantung kepada kelompok sosial yang mendasarinya.

Ceritera 36 (Penggunaan Bahasa Baku dalam Kalangan Mahasiswa)

Assalamualaikum…
Adakah anda seorang mahasiswa/mahasiswi?
Adakah anda menggunakan bahasa baku?
Bahasa baku ialah bahasa yang teratur dan mantap dari segi pelbagai aspek (seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan lain-lain) dan diterima oleh masyarakat sebagai norma pergaulan yang betul atau sahih. Sejauh manakah penggunaan bahasa baku dalam kalangan mahasiswa/mahasiswi?
            Melalui permerhatian saya, penggunaan bahasa baku dalam kalangan mahasiswa atau mahasiswi masih lagi berada di takuk yang rendah. Hal ini kerana mahasiswa atau mahasiswi lebih gemar menggunakan bahasa yang bersifat ringan seperti bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa rojak dan seumpamanya dalam komunikasi seharian. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan bahasa dalam kalangan mahasiswa atau mahasiswi ketika membentangkan tugasan dalam kuliah. Contohnya, ketika pembentangan tugasan kursus sosiolinguistik tadi, hanya seorang sahaja daripada sepuluh orang mahasiswa/mahasiswi yang didapati menggunakan bahasa baku. Sembilan daripada sepuluh orang pelajar yang selebihnya lebih gemar menggunakan bahasa yang bersifat santai seperti bahasa basahan.
           Kesannya, hal ini akan menimbulkan kemerosotan dalam aspek mutu bahasa, berkaitan dengan ketidakpekaan sebilangan mahasiswa/mahasiswi terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di internet dan sebagainya) dengan bahasa baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.

Ceritera 35 (Bahasa Eufemisme/Halus)

            “Tahniah! Awak akan jadi ibu.”
            “Maksud Doktor?”
            “Awak mengandung dua bulan.”
            “Apa?”
“Syukur alhamdulillah. Segala doa kita termakbul jugak akhirnya nak. Ira… tahniah. Bonda ucapkan nak”.
Dialog di atas saya petik daripada sebuah novel, karya Shahriah Abdullah yang berjudul Kau Tercipta Untukku. Di sini bukan saya hendak mengulas tentang jalan cerita novel ini, tetapi mengulas tentang penggunaan bahasa dalam novel ini. Saya ingin menyentuh tentang satu perkataan yang digunakan, iaitu “mengandung”. Kita sedia maklum bahawa selalunya penulisan novel menggunakan bahasa yang puitis dan indah. Saya berpendapat bahawa lebih indah bahasa itu seandainya penulis menggunakan bahasa-bahasa yang halus dan lembut dalam penulisannya.
Bahasa halus atau eufemisme merupakan bahasa atau perkataan yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain, misalnya perkataan meninggal dunia menggantikan perkataan mati. Bagi perkataan mengandung yang digunakan dalam novel tersebut sebenarnya agak kasar bunyinya. Hal ini kerana terdapat beberapa perkataan yang lebih lembut bagi menggantikan perkataan tersebut seperti perkataan hamil atau berbadan dua. Penggunaan perkataan hamil atau berbadan dua ini nampak lebih manis dan lebih halus untuk dituturkan berbanding perkataan mengandung.
Bahasa yang digunakan dalam novel mampu mempengaruhi masyarakat mengaplikasikan penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian. Senadainya sesebuah novel menggunakan bahasa yang lembut dan halus, maka sudah pastinya pembaca akan terpengaruh dengan penggunaan bahasa tersebut. Oleh itu, bidang penulisan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan masyarakat yang mampu berbahasa dengan baik dan halus dan seterusnya akan melahirkan generasi yang berbudi bahasa.
Novel Kau Tercipta Untukku, Karya Shahriah Abdullah