BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 40 (Ungkapan Tabu dalam Filem-filem Melayu)

Assalamualaikum…

Apakah maksud tabu? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tabu boleh dimasudkan sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali, yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada percakapan. Dalam ertikata yang lain, tabu merupakan percakapan yang kurang sopan, kasar, kesat, atau berbaur lucah yang ditegah penggunaannya dalam komunikasi. Walau bagaimanapun, saya melihat industri perfileman kini banyak menggunakan ungkapan-unkapan yang bersifat tabu dalam pembikinan filem mereka. Contohnya, ketika saya menonton filem Aku Masih Dara, arahan Ahmad Idham, saya mendapati filem tersebut banyak menggunakan ungkapan yang berbaur tabu atau lucah. Filem yang membongkarkan keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja ini jelas menggunakan ungkapan tabu dalam dialog filem tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui watak Zekry, iaitu lakonan Farid Kamil yang menggungkapkan kata-kata tabu seperti “aku sangap lubang” dalam dialog filem tersebut. Hal ini menunjukkan betapa rendahnya penggunaan bahasa Melayu yang baik dan santun dalam dunia perfileman tanah air kita.

Filem Aku Masih Dara

Hal ini menunjukkan bahasa industri perfileman kita menggunakan media sebagai saluran komersial yang mengeksploitasikan penggunaan pelbagai bentuk dan ragam bahasa yang tidak baik sehingga menjatuhkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Kemunculan pelbagai bentuk media dalam suasana yang penuh persaingan telah menjadikan ungkapan tabu sebagai objek seni dan komersial. Kedua-dua tujuan tersebut digabungjalinkan dengan menarik bagi tujuan melariskan jualan agar mendapatkan keuntungan yang luar biasa. 

          Walau bagaimanapun, kesan yang timbul akibat penggunaan ungkapan tabu ini telah mempengaruhi masyarakat, terutamanya golongan untuk menggunakan ungkapan-ungkapan seumpama itu dalam komunikasi seharian mereka. Maka, dengan itu muncullah generasi yang tidak beradab sehingga sanggup menggunakan ungkapan tabu itu ketika berkomunikasi dengan orang yang lebih tua. Oleh itu, diharap penggunaan ungkapan tabu dalam dunia perfileman dapat dikurangkan dan digantikan dengan bahasa halus atau eufemisme agar melahirkan generasi yang mampu berbahasa dengan halus dan sopan.

0 comments: