Sepanjang berlangsungnya SEMINAR DISKUSI ILMIAH: KELANGSUNGAN TATABAHASA DEWAN DAHULU DAN KINI, majlis menerima dif-dif jemputan seperti Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, para pensyarah dan para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. majlis dimulakan dengan ungkapan pantun Melayu sebagai pembuka bicara. Pantun Melayu itu diungkapkan dengan lembut dan sangat menarik oleh pengerusi majlis. Di situ timbulnya suasana ‘kemelayuan’ yang bersesuaian dengan isu perbincangan atau diskusi berkaitan dengan bahasa Melayu. Saya melihat pantun Melayu mampu memurnikan komunikasi yang mewujudkan suasana ceria dan santai di samping menunjukkan ketinggian nilai warisan nenek moyang kita. Pantun yang digunakan antaranya berbunyi:
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Pantun hadir dalam berbagai-bagai ruang hidup masyarakat di Malaysia, yang menunjukkan bahawa bukan sahaja pantun itu penting, tetapi juga hakikat betapa masyarakat Malaysia itu ialah manusia seniman, yang peka kepada sesuatu bahasa. Bertolak daripada kenyataan ini, dapat dilihat bahawa pantun merupakan salah satu agen yang mengembangkan dan mengindahkan sesuatu bahasa seperti bahasa Melayu. Pantun seringkali digunakan dalam komunikasi lisan seperti dalam sesuatu majlis untuk mengindahkan dan menghaluskan bahasa yang diujarkan. Keindahan bahasa yang digunakan dalam pantun menggambarkan bahawa orang Melayu kaya dengan budi pekerti dalam menuturkan sesuatu ujaran. Oleh hal yang demikian, wajarlah kita menjadikan pantun sebagai salah satu wahana dalam memartabatkan baahsa Melayu.
0 comments:
Post a Comment