Ketika aku pulang ke kampungku baru-baru ini, aku sempat singgah di sebuah pasar malam untuk membeli buah. Semasa aku tengah memilih buah, datang dua orang remaja perempuan untuk membeli buah juga. Peniaga buah-buahan itu telah menyapa mereka seperti berikut:
Peniaga: Kak, nak beli buah apa?
Remaja: Bagi buah anggur sekilo.
Kemudian, kedua-dua remaja tersebut berbisik sesama sendiri, tetapi aku masih boleh mendengarinya.
Remaja A: Suka-suka dia ja panggil dekat aku kak. Padahal dia tu dah tua.
Remaja B: Tahu xpe.
Melalui situasi ini jelas bahawa penggunaan kata sapaan atau kata panggilan yang menepati sistem masyarakat adalah penting walaupun berlaku dalam situasi tidak rasmi. Walaupun hanya berurusan di pasar malam, kesesuaian penggunaan kata sapaan dan budi bahasa perlu diberi perhatian serius. Situasi tersebut menunjukkan bahawa remaja itu kurang selesa dengan panggilan ‘kakak’ kerana mengganggap panggilan tersebut kurang sesuai dengan usianya.
Oleh itu, kita seharusnya menggunakan kata sapaan atau panggilan nama yang betul kepada orang yang kurang akrab dengan kita walaupun dalam suasana tidak rasmi terutamanya jika orang itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukannya daripada kita. Panggilan nama mungkin sesuai hanya dalam kalangan teman yang cukup akrab. Budaya Barat mungkin membenarkan keadaan sebegitu, tetapi budaya kita mempunyai asas norma yang lain. Pepatah Melayu ada mengatakan, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi”
0 comments:
Post a Comment