BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 26 (“Bahasa Menunjukkan Bangsa”)

Adakah anda meminati filem klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee? Jika anda meminatinya, pasti anda pernah menonton filem “Seniman Bujang Lapok”. seandainya kita menonton filem ini pastinya  kita tidak akan kering gusi melihat telatah tiga orang bujang lapuk tersebut. Jika diteliti secara mendalam, filem ini bukan sahaja berfungsi untuk memberi hiburan kepada kita, malah turut menyampaikan mesej dan unsur didaktik yang boleh diteladani.

 Filem Seniman Bujang Lapok
            Hari ini, saya ingin membuat kupasan mengenai salah satu adegan dalam filem tersebut. Pastinya masih segar dalam ingatan anda mengenai satu adegan dalam filem tersebut tentang peristiwa ketika tiga orang bujang lapuk ini meminta pekerjaan di salah sebuah studio filem Melayu. Watak Sudin yang pada ketika itu telah ditegur oleh seorang pengawal keselamatan kerana menggunakan bahasa yang kurang sopan ketika bertanya tentang kekosongan jawatan di studio tersebut. Kemudiannya, Sudin telah dimarahi oleh Ramlee kerana mengajukan pertanyaan dengan cara yang kurang manis. Ramlee juga menegaskan bahawa “bahasa menunjukkan bangsa” dan orang Melayu sememangnya terkenal dengan kesantunan dalam berbahasa.
            Pada pandangan saya, filem tersebut sebenarnya mahu menyampaikan mesej tentang penggunaan bahasa yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan kesopanan ketika berkomunikasi dengan orang lain. Penggunaan bahasa yang bersopan adalah penting kerana kesopanan masyarakat menuturkan bahasa tersebut merupakan cerminan sesebuah bahasa itu sendiri. Oleh itu, masyarakat seharusnya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum agar bahasa kita dihormati oleh bangsa-bangsa lain. 

0 comments: