Baru-baru ini aku ada membaca sebuah artikel berkaitan dengan penggunaan bahasa rojak yang kian menular dalam industri perfileman. Aku rasa isu ini wajar diberi perhatian supaya keadaan tidak menjadi semakin parah…
Seandainya kita menulis buku bahasa Melayu dan untuk dipasarkan di negara kita, bahasa yang akan dan sepatutnya digunakan ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari segi penggunaan judulnya. Hal yang sama juga sepatutnya dilakukan dalam pembikinan filem Melayu. Penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris perlulah dielakkan. Bentuk penggunaan bahasa rojak ini dilihat semakin menjadi-jadi, kononnya atas alasan ingin menggambarkan realiti masyarakat di luar filem. Lebih serius lagi, untuk melihat penggunaan bahasa rojak ini, kita tidak perlu bersusah payah menonton filem kerana boleh dilihat secara langsung dalam penggunaan judulnya. Terdapat sesetengah filem yang sememangnya menggunakan bahasa Melayu dalam pembikinan filemnya, tetapi judulnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak. Misalnya, Senario The Movie Episode 2 Beach Boys, Remp-it, Kami The Movie, Antoo Fighter, dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Brainscan, Evolusi KL Drift, Ratu The Movie dan sebagainya.
Untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam filem Melayu, pihak yang terlibat dalam industri perfileman perlu melihat kembali kepada nilai budaya tempatan dan kembali mengutamakan pengunaan bahasa Melayu yang berkualiti kerana “bahasa menunjukkan bangsa” dan filem pula merupakan “cerminan bangsa”. Sebagai salah satu wahana hiburan yang kuat pengaruhnya dan mampu menyampaikan sesuatu mesej secara berkesan, yang ditonjolkan melalui filem, biarlah sesuatu yang baik dan dapat diteladani, termasuklah dari segi penggunaan bahasanya.
0 comments:
Post a Comment