BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 25 (Wujudkah Peribahasa yang Buruk?)


Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Hari ini saya ada membaca isu yang ditulis dalam sebuah blog yang saya sendiri tidak mengenali penulis blog tersebut. Saya amat tertarik dengan isu yang diketengahkan dalam ruangan blognya itu. Tajuk isu tersebut ialah “ peribahasa yang buruk”. Peribahasa buruk yang dimaksudkan oleh penulis blog tersebut ialah peribahasa yang merendahkan diri seseorang. Contoh peribahasa tersebut adalah seperti berikut:
            -Beras secupak tidak akan jadi segantang
            -Biar mati anak, jangan mati adat
            -Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
-Batu yang bergolek tidak akan diliputi lumut
            Di sini, saya akan menghuraikan tentang peribahasa beras secupak tidak akan jadi segantang. Menurut penulis blog tersebut, merupakan peribahasa yang paling teruk sebenarnya. Alasannya, peribahasa ini mengajar bahawa kehidupan kita seolah-olah sudah ditentukan sejak kita masih belum lahir lagi. Seolah-olah kita terpaksa menerima keadaan tanpa perlu berusaha dan hanya perlu duduk diam sahaja. Persoalannya, benarkah apa yang diutarakan oleh penulis blog tersebut?
            Pada pandangan saya, penulis blog tersebut telah tersalah mentafsir maksud sebenar peribahasa ini. Melalui pemahaman saya peribahasa ini menjelaskan tentang rezeki atau sesuatu yang sedikit tidak akan menjadi banyak jika tidak tidak disusuli dengan usaha yang bersunguh-sungguh. Peribahasa ini sebenarnya memberi pedoman kepada kita untuk terus berusaha bagi mencapai sesuatu hasrat atau kejayaaan. Setiap individu mestilah berusaha, bukannya sekadar menerima keadaan tanpa perlu berusaha seperti yang dimaksudkan oleh penulis blog tersebut. Seandainya kita hanya berdiam diri tanpa berusaha sudah pastilah “beras secupak tidak akan jadi segantang.” Oleh hal yang demikian, kita seharusnya menilai makna peribahasa secara tersirat dan bukannya secara tersurat kerana peribahasa merupakan salah satu bahasa indah yang menggunakan kiasan untuk mengungkapkan sesuatu perkara. 

0 comments: