Murtabak atau martabak?
Apakah jawapan anda?
Hari ini aku mahu berkongsi sedikit info yang aku peroleh mengenai ejaan sebenar murtabak. Sesungguhnya selama ini aku menyangkakan ejaan murtabak itu adalah tepat, tetapi sangkaan aku meleset sama sekali kerana ejaan sebenar ialah martabak. Aku percaya ada segelintir diantara kita juga tidak mengetahuinya. Hal ini kerana sudah menjadi kebiasaan dalam diri kita melihat ejaan sebegini di pasar-pasar malam, dalam buku resepi dan sebagainya sehingga kita mengganggap ejaan tersebut adalah tepat. Tambahan pula, tidak mustahil jika aku katakan bahawa kebanyakan diantara kita tidak pernah menyemak ejaan tersebut di dalam kamus kerana menyangkakan ejaan murtabak itu adalah tepat.
Setelah mendapat info ini aku terus menyelak Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mencari maksud murtabak. Hasil daripada carian tersebut, didapati bahawa tidak ada perkataan murtabak dalam kamus tersebut, yang ada hanyalah martabak, iaitu bermaksud sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cincang, telur, rempah, bawang dan sebagainya.
Walaupun isu yang diketengahkan ini kelihatan remeh, tetapi bagi seorang bakal guru bahasa Melayu, perkara ini perlu diberi perhatian agar kita tidak terus tersalah menyebut dan mengeja perkataan yang dianggap remeh tersebut. Oleh itu, diharap kita terus peka dengan isu-isu sebegini agar perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
0 comments:
Post a Comment