BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 27 (Bahasa Kreol di Malaysia)

Baru-baru ini kita telah belajar tentang bahasa inklusif dalam kursus Sosiolinguistik bahasa Melayu. Bahasa inklusif merupakan bahasa yang ditempatkan di atas sesebuah bahasa yang sedia ada. Bahasa ini mempunyai sifat dan ciri yang tinggi sehingga mengatasi bahasa-bahasa lain yang ada dalam sesebuah negara tersebut. Bahasa inklusif ini termasuklah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, lingua franca, bahasa pijin, bahasa kreol, dan bahasa koine.
            Saya amat tertarik untuk mengulas tentang bahasa kreol. Bahasa kreol merupakan sejenis bahasa pijin yang telah mantap penggunaannya dan mempunyai komuniti penuturnya yang tersendiri. Pada asalnya, kreol merupakan bahasa pijin, iaitu bahasa yang digunakan dalam konteks pertembungan, terutamanya di pasar atau pusat perniagaan oleh manusia yang datang dari latar belakang, kaum atau keturunan yang berbeza. Kemudiannya, bahasa-bahasa ini diangkat menjadi bahasa pertama atau bahasa ibunda yang dikenali sebagai bahasa kreol.
            Tahukah anda apakah bahasa kreol yang terdapat di Malaysia? Salah satu bahasa kreol yang terdapat di Malaysia ialah bahasa Baba Nyonya yang terdapat di negeri Melaka dan Pulau Pinang. Kedatangan orang Cina ke Nusantara meninggalkan kesan yang mendalam terhadap bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana komuniti ini telah melahirkan sejenis kreol bahasa Melayu yang disebut bahasa Melayu kreol Baba Nyonya. Dalam kreol Melayu Baba di Melaka, unsur bahasa Cina telah dibawa masuk dan mempengaruhi bahasa Melayu. Bahasa Melayu kreol Baba di Melaka ini merupakan variasi bahasa Melayu kerana bahasa dominannya ialah bahasa Melayu. Contoh pertuturan Baba Nyonya adalah seperti berikut:
            Gua mo makan nasik (Baba Nyonya)
            Saya mahu makan nasi (bahasa Melayu)
Oleh itu, jelas bahawa bahasa kreol telah berperanan sebagai bahasa komunikasi yang berguna kepada penuturnya umpama perhubungan dengan “jalan tengah” yang mana disesuaikan antara bahasa asal usul mereka dengan bahasa masyarakat setempat. Dari kelainan itulah akan dikenali sebagai kreol.  Kreol telah memberi sumbangan yang berguna sebagai bahasa penuturan dan telah memainkan peranan berfungsi untuk mengeratkan perhubungan masyarakat penuturnya. Kemungkinan penggunaan bahasa kreol ini akan berkembang ataupun lenyap adalah sepenuhnya bergantung kepada kesetiaan penuturnya.

 Masyarakat Baba Nyonya

0 comments: