Assalamualaikum...
Penutur A: Abang, kantin dekat mana?
Penutur B: sebelah klinik pakar, bangunan hujung sana.
Dialog di atas merupakan dialog antara seorang orang awam dengan seorang pegawai kesihatan di salah sebuah hospital di Pulau Pinang. Saya sempat mendengar perbualan singkat mereka yang kebetulan pada masa itu saya berada hampir dengan mereka. Menerusi perbualan mereka itu, saya mendapati bahawa adalah tidak wajar bagi seseorang memanggil abang kepada seseorang yang berpangkat pegawai. Mungkin orang awam itu tidak tahu tentang kata sapaan yang sewajarnya digunakan bagi merujuk orang yang berpangkat atau berkedudukan tinggi. Apakah kata sapaan?
Kata sapaan atau rujukan hormat ialah kata yang digunakan untuk menyapa atau merujuk diri seseorang. Jenis perkataan atau rujukan yang akan digunakan adalah bergantung pada status atau kedudukan, pangkat, gelar dan usia seseorang yang disapa atau dirujuk. Penggunaan perkataan ini perlulah tepat dan bersesuaian dengan orang yang disapa atau dirujuk itu, terutamanya dalam situasi rasmi. Penggunaan kata sapaan yang tidak tepat, terutamanya dalam komunikasi lisan dalam majlis rasmi, boleh menyinggung perasaan orang yang disapa.
Prof. Emeritus Abdullah Hassan dalam Berita Harian 1 Oktober 2009 menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu didapati semakin tercemar apabila tabiat menggunakan kata nama “abang” sewenang-wenangnya sebagai panggilan dalam pertuturan harian. Perkembangan tersebut telah mewujudkan bahasa pasar baharu apabila masyarakat, khususnya golongan muda menggunakan “abang” untuk orang yang tidak dikenali. Katanya lagi, “Penggunaan bahasa ini adalah biadab kerana mengabang-abangkan, memakcik-makcikkan, ataupun mempakcik-pakcikkan orang yang tidak dikenali.” Perbuatan tersebut juga dianggapnya sebagai memalukan kerana bukan sahaja tidak menggunakan pemadanan tara dan adab berbahasa yang betul, bahkan menggambarkan sikap berbahasa yang tidak menghormati orang lain.
Sebenarnya, bahasa Melayu kaya dengan pelbagai kata sapaan dan rujukan yang berbeza daripada bahasa-bahasa lain dan setiap penuturnya mesti menguasainya dan menggunakannya dengan betul dalam konteks yang sesuai dengan teman bicara mereka. Penggunaan kata sapaan dan rujukan ini bukan sahaja berfungsi untuk menyapa atau merujuk seseorang tetapi mendukung fungsi memperlihatkan kesopanan penutur yang menggunakan bahasa tersebut.
0 comments:
Post a Comment