Assalamualaikum…
Hari ini saya akan berkongsi isu tentang keunikan bahasa Melayu. Kadang-kadang saya tertanya dimanakah terletaknya keunikan bahasa Melayu…? Secara amnya, keunikan bahasa Melayu sebenarnya tergambar dalam pemilihan kata yang diungkapkan oleh seseorang. Keindahan dan keistimewaan bahasa Melayu mendapat pengaruh daripada adat resam orang Melayu secara turun-temurun yang mengajar cara bertutur atau berkomunikasi dengan baik untuk menyampaikan buah fikiran atau sesuatu mesej kepada pendengar. Kata-kata manis dan ikhlas dilahirkan melalui ungkapan yang memberi petunjuk bahawa percakapan yang elok dan baik hendaklah dilakukan dengan menggunakan akal fikiran mengikut adat dan budaya tempatan.
"Apa tanda Melayu yang bijak,
berfikir dahulu sebelum bertindak,
Apa tanda Melayu beradab,
berfikir dahulu sebelum bercakap,
Apa tanda Melayu bertuah,
berfikir dahulu sebelum bermadah,
Apa tanda Melayu berakal,
berfikir dahulu sebelum berbual".
Segala peringatan dan tunjuk ajar yang terkandung dalam ungkapan di atas menunjukkan betapa orang Melayu arif dan teliti dalam menyampaikan pendapat dan fikirannya sebagai cerminan keperibadian Melayu yang islam lagi terpuji yang menjadi anutan.
Amalan berbahasa mencerminkan budi pekerti mulia dan penuh kesantunan orang Melayu sehingga timbulnya "pantang larang" dalam berbahasa, iaitu melarang menggunakan bahasa yang tidak sopan yang mungkin menyinggung perasaan, membuka aib, malah menjatuhkan maruah seseorang. Orang Melayu yang menggunakan bahasa yang kurang sopan turut mendapat sindiran seperti dalam ungkapan:
"Siapa bercakap kasarlanggar,
malangnya banyak celakanya besar"
"Siapa berkata kasar langgar,
budinya rendah imannya longgar".
Oleh itu, keunikan bahasa Melayu dalam mengungkapkan teguran membuktikan bahawa orang Melayu begitu arif menggunakan bahasa.
0 comments:
Post a Comment