BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 17, 2011

Ceritera 23 (Kanak-kanak pun Tahu Menggunakan Bahasa Kesat)

Salam perpaduan...
“Sakitlah bodoh. Buta ke apa? Sial betul…” kata seorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun kepada rakannya yang terpijak kakinya ketika membeli ayam goreng di pasar malam baru-baru ini. “Engkaulah bodoh”. Ingat aku sengaja ke....?”
Itulah perbualan dua orang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun yang sempat saya dengar ketika pergi ke pasar malam baru-baru ini. Alangkah sedihnya saya mendengar apabila kanak-kanak yang masih mentah, berkomunikasi dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana tidak puas hati dengan rakannya. Pada usia yang baru setahun jagung mereka sudah pandai menghamburkan kata-kata kesat dengan sewenang-wenangnya. Mengapakah perkara ini boleh berlaku?
            Sebenarnya, banyak faktor yang mempengaruhi kanak-kanak mahupun remaja menggunakan bahasa yang kesat ini dalam pertuturan seharian. Faktor didikan keluarga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi golongan kanak-kanak dan remaja melafazkan perkataan yang kasar dan tidak baik. Semasa pembesaran kanak-kanak, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan bahasa yang baik boleh menyumbang kepada permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap dengan anak-anak mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu.
Kadang kala ibu bapa yang bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan hal ini alkan meninggalkan kesan negatif kepada anak-anak. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa sebegitu hanya menaikkan ego mereka dan menunjukkan percubaan untuk menguasai emosi orang yang dimarahi.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran juga menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah remaja cenderung menggunakan bahasa yang kesat dalam pergaulan seharian. Hal ini amat jelas terutamanya apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya.
Sebagai contoh, perkataan “bodoh” sering diungkapkan oleh sesetengah kanak-kanak dan remaja bagi mengungkapkan rasa tidak puas hati atau memberi kritikan terhadap sesuatu. Sebenarnya, perkataan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berbaur kesat atau mencarut adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membimbing anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ketegasan ibu bapa diperlukan agar anak-anak terbiasa dengan disiplin pertuturan yang terdidik walau di mana mereka berada.

0 comments: